Semalam ita dah kongsikan kek yang ita sediakan untuk Amirul. Hari ini ita kongsikan pula kek yang ita sediakan untuk birthday suami ita pula. Nak buat macam mana.. bila tarik birthday nya dekat-dekat.. kenalah buat 2 biji kek sekali.. agar tak ada yang merajuk pulak.. ^___^
Kebiasannya suami akan minta ita buatkan Carrot Cake. Tapi kali ini macam terasa nak makan cheese cake lah pulak!
Kebetulan ita juga mendapat permintaan daripada kenalan FB yang meminta ita kongsikan resepi Tofee Cheese Cake. Hasil pencarian ita di Google, akhirnya bertemulah ita dengan resepi yang di cari..
Ita tunjukkan pada suami, kerana suami peminat caramel.. bila tunjuk sahaja kek ni beliau terus setuju tanpa membantah. Sebenarnya suami ita tak lah terlalu cerewet, biasanya apa yang ita sediakan itulah yang terbaik dan terenak pada seleranya. Cuma kadang kala bila tiba hari-hari istimewa begini , ita teringin menyediakan yang special sikit untuk beliau..
Untuk rsepi ini ita ambil di SINI
Ita ada kurangkan gula kerana bimbang ianya terlalu manis.
Maklumlah bila kita mencuba resepi luar ni, kebiasannya kandungan gula sangat banyak, mungkin gula mereka tidak semanis gula kita ke? Tapi masa ita pergi Australia dulu, ita memang tak boleh nak makan sebarang manisan mereka kerana memang manis medu.. boleh tertanggal gigi ni..
TOFEE CHEESE CAKE
by : Epicurious
Lapisan Bawah
1 1/2 cawan biskut Oreo / Marie / Tiger
5 sudu besar mentega cairkan
Biskut di hancurkan. Boleh juga gunakan campuran biskut, antara biskut Oreo dan biskut Marie atau sebaliknya.
Satukan biskut dan mentega
Letakkan dalam loyang spring form pan ukuran 8 inc
Alas dasar loyang terlebih dahulu dengan kertas minyak
Padatkan biskut dalam loyang
Boleh padatkan pada dasar loyang sahaja, atau pada sekeliling loyang juga
Simpan dalam peti ais sebentar anggaran 1 jam
Kemudian bakar pada suhu 170 C selama 15 minit atau sehingga biskut merenggang sedikit dari loyang.
Biarkan sejuk tapi jangan keluarkan dari loyang ya. Biarkan ia sejuk dalam loyang
Cheese Cake
250 gm krim cheese ~ suhu bilik
150 gm gula perang
30 gm mentega ~ dicairkan
5 biji telur
1 sudu teh esen vanilla
Pukul cream cheese dan gula perang hingga lembut
Tambahkan telur sebiji-sebiji dan terus pukul
Tambahkan mentega cair dan esen vanilla dan pukul rata
Tuang dalam loyang yang terdapat biskut tadi.
Balut loyang dengan kertas aluminium foil tapi jangan tutup permukaan loyang
Letakkan loyang dalam loyang lain yang lebih besar
Isikan air panas dalam loyang yang besar, jangan sampai loyang kek terapung.
Bakar secara bain marie ini pada suhu 170 C selama 1 jam 15 minit
Bakar guna api atas dan bawah
Caramel
1 1/2 cawan gula ~ ita kurangkan
1/4 cawan air
1/2 sudu teh jus lemon
1 cawan krim tenusu Dairy Whipping Cream / heavy cream
15 gm mentega
Masak gula, air dan lemon hingga keperangan
Kemudian tambahkan krim tenusu dan kacau hingga ia pekat
Tambahkan mentega dan kacau hingga ia berkilat
Biarkan ia suam
Tuangkan atas cheese cake tadi
Simpan dalam peti ais hingga dingin
Hiaskan dengan coklat Tofee