Quantcast
Channel: masam manis
Viewing all articles
Browse latest Browse all 808

RUSIAN BLACK AND WHITE CAKE

$
0
0
Assalamualaikum


Hari ni baru dapat menarik nafas lega.. setelah beberapa hari ni terlalu sibuk dengan pelbagai program. Lepas ni dah boleh sambung semula segala tugas yang tergendala. Entahlah sejak dua menjak ni terasa  jadual ita terlalu padat. Banyak sangat tugasan yang menanti. Hinggakan kadang kala terasa nak berehat aje dari mengupdate blog ni.. bila mengenangkan rakan-rakan yang sering menjadikan blog ita teman penghibur, ita gagahkan diri untuk mengupdatekan seberapa kerap yang ita termampu.

Kesibukkan membuatkan ita terpaksa menolak beberapa undangan. Baru-baru ini ita telah di undang untuk muncul dalam satu rancangan women talk show di TV7. Bella merupakan rancangan untuk wanita yang keudara setiap hari Isnin hingga Khamis dari pukul 11 am ~ 12 pm dan pada hari Ahad dari pukul 1.30 pm ~ 2.30 pm. Ita terpaksa menolak kerana jadual ita yang sangat padat dan ita juga memegang tanggungjawab sekolah SK Taman Daya 2 dalam Johor Junior Chef Challenge. Terima kasih ita kepada Penerbit Rancangan Bella, Fakhrunnisa Hamdan atas kiriman email dan undangan ini, akak minta maaf sangat-sangat kerana tidak dapat memenuhi undangan ini dan semoga kita akan dapat berkerjasama di masa akan datang.

Ita juga terpaksa menolak beberapa tawaran majalah untuk memuatkan resepi kerana ita tak cukup masa untuk berbuat demikian. Maaf sangat-sangat.. sebab memang tak termampu rasanya. Terima kasih kerana mempercayai bakat ini.. Insya Allah jika ada rezeki kita dapat berkerjasama semula..


Hari ni ita nak kongsikan kek yang ita sediakan untuk hari ulang tahun anak ita Azrul. Walaupun Azrul berada di asrama, ita tetap meraikan ulang tahunnya di rumah sebagai mengigati kembali detik kegembiraan kami sekeluarga menerimanya sebagai cahaya mata yang di anugerahi Illahi.

Sebenarnya kami dah berjanji untuk turun ke Kuala Lumpur bagi meraikan ulang tahun Azrul pada hari minggu yang lalu. Namun kerana ita terikat dengan pertandingan memasak Johor Junior Chef Challenge, kami terpaksa membatalkannya. Mujur Azrul anak yang tidak mudah ambil hati.. Insya Allah minggu ni katanya ia akan pulang, dan pasti kami akan raikannya bersama.

Ok lah tak mau cakap banyak lagi.. nanti berjurai pula air mata ni..
Kita terus aje pada resepi yang akan ita kongsikan.


Kek ini adalah kek yang cukup popular di FB satu masa dahulu. Ita pun pernah buatkan kek ni untuk birthday Amirul tahun lalu di SINI. Tapi sedikit berbeza dari segi rasanya dan kejadiannya. Masa tu ita buat kek berbentuk bulat. Kali ni ita buat pula bentuk empat segi.

Ita kategorikan kek ini sebagai kek yang mewah. Mewah dengan rasa coklat kerana menggunakan kek coklat moist sebagai kek span asas. Sebagaimana yang ita pernah nyatakan kek ni sangat lembab, gebu dan dari kelompok kek yang berat. Kek ini juga penuh dengan rasa cheese. Bagi peminat cheese pasti sukakan rasanya yang mewah dengan harum moca. Bertambah-tambah walla..!! bila dilimpahi coklat ganarche yang berkilauan..

Bagi mereka yang menjaga bentuk badan.. awas!! anda tidak boleh menghampirinya.. kerana punahlah diet anda.. pasti tak boleh berhenti bia menikmatinya tau!!


Jutaan terima kasih kepada mereka yang mencetuskan idea yang menarik hingga terlahirlah kek yang sangat mewah ini. Resepi ini ita ambil daripada beberapa resepi yang ita google di internet. Ita olah mengikut cara ita sendiri. Kepada yang nak mencuba boleh lah mencubanya.. manalah tau teringin menyediakan sendiri kek untuk buah hati tersayang..

Kek ni pada ita dah cukup cantik coraknya. Oleh kerana itu ita tidak menghiasnya terlalu mewah kerana tidak mahu spoilkan kejadiannya yang pada ita dah cukup unik!


Untuk resepi kek span coklat, ita menggunakan resepi Kek Coklat Lembab atau Chocolate Moist Cake. Boleh lihat cara-cara dan kaedah penyediaan beserta step by step penyediaan di SINI

BLACK AND WHITE RUSSIAN SQUARE CAKE

Kek Coklat Lembab

Bahan A
300 gm tepung gandum
100 gm serbuk koko
1 sudu teh serbuk penaik
1 sudu teh soda bikarbonat
Satukan semua bahan
Kemudian ayak
Ketepikan

Bahan B
3 biji telur A saiz
400 gm gula kastor
1 sudu teh esen vanilla

Bahan C
250 ml susu cair
250 ml minyak jagung

Untuk mendapatkan kek yang lebih moist dan lebih lembut, bolehah tambahkan 2 sudu besar susu pekat manis.


Bahan D
250 ml air panas

Satukan semua bahan B
Pukul hingga putih
Masukkan minyak dan susu cair, jika nak lebih moist boleh tambahkan 2 sudu besar susu pekat manis
Pukul hingga sebati
Masukkan bahan tepung yang telah diayak tadi sedikit-sedikit dan kaup balik adunan dengan spatula.
Tambahkan air panas dan gaul rata
Tuang adunan dalam loyang bulat atau empat persegi ukuran 8 inc yang telah di gris dan di lapik dasar loyang dengan kertas minyak

Bakar adunan di dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 170C
Masa pembakaran 1 jam sehingga 1 jam 1/2 bergantung kepada kepanasan ketuhar.
Untuk memastikan kek telah dibakar sempurna, cucuk tengah kek secara sendeng dengan lidi bersih.
Bila lidi keluar licin, ini bermakna kek telah di bakar sempurna.
Jika tidak tambahkan lagi masa membakar.
Sejukkan kek atas redai setelah masak


Krim Keju Moca

Bahan A
12 gm halal gelatin
60 gm air

Bahan B
400 gm krim keju
2 sudu teh Nescafe segera ~ boleh juga letakkan pes Moca
60 gm gula icing

Bahan C
300 gm Krim Putar bukan tenusu

Mula-mula kita cairkan gelatin dahulu.
Satukan gelatin dalam air
Kemudian cairkan secara kukusan
Untuk kaedah mencairkan gelatin boleh rujuk di SINI, untuk cara dan step by step penyediannya.






Satukan bahan B
Pukul hingga lembut
Campurkan gelatin dan pukul hingga licin
Dalam bekas lain, pukul krim putar bukan tenusu hingga kental
Kaup balik krim putar dalam krim keju hingga bergaul sempurna
Masukkan dalam piping bag dan dinginkan dalam peti ais


Chocolate Ganache

Bahan A
250 ml krim tenusu
40 gm sirap glukos ~ ita lupa nak letak dalam gambar
*sirap glukos ada di jual di kedai jual bahan kek

Bahan B
400 gm coklat masakan gelap
30 gm mentega
1 sudu besar pes hazelnut ~ jika suka


Satukan krim tenusu dan sirap glukos, didihkan sehingga timbul buih-buih kecil di tepi periuk
Coklat masakan gelap di cincang halus
Tuangkan krim panas dalam bekas coklat dan biarkan coklat mencair, gaul rata
Masukkan mentega dan gaul sempurna
Jika inginkan rasa ganache yang lebih enak tambahkan 1 sudu besar pes Hazelnut, jika tiada boleh letakkan Nutella sebagai ganti.
Sejukkan
Masukkan dalam piping bag dan dinginkan dalam peti ais

Sirap Nescafe

1 sudu besar Nescafe segera
1/4 cawan air suam

Satukan semua bahan dan kacau rata




Kaedah Penyediaan

Kek yang telah sejuk dipotong kepada 4 kepingan 
Kaedah memotong kek boleh rujuk di SINI
Letakkan 1 keping kek atas lapik kek
Sapukan sirap Nescafe di atas permukaan kek rata. 
Boleh juga masukkan sirap dalam botol spray dan spraykan atas kek
Ini bertujuan untuk melembabkan kek
Paipkan di tengah-tengah kek secara menyerong, garnache coklat diikuti krim keju moca
Lakukan berselang seli sehingga habis
Letakkan pula sekeping lagi kek dan seperti yang pertama sapukan juga sirap Nescafe.
Kemudian paipkan pula krim keju moca pula di tengah kek secara menyerong
Ulang proses yang sama hingga habis semua lapisan kek


Kemaskan tepi kek
Simpan sebentar dalam peti ais
Kemudian salutkan atau lempa kek dengan baki krim keju moca pada keseluruhan kek
Simpan semula dalam peti ais hingga krim keju mengeras

Ambil lebihan Garnache dan cairkan dengan kaedah kukusan Double boiler
Alihkan kek atas redai
Alas redai dengan loyang supaya lebihan garnache tumpah ke dalamnya
Tuangkan garnache atas di tengah kek, kemudian di tepi hingga ganache meleleh turun dan menyaluti keseluruhan kek
Sendengkan ke kiri dan ke kanan loyang supaya ia rata
Biarkan sebentar
Kaedah mencurahkan garnache dan step by step boleh rujuk di SINI

Alihkan Kek yang telah di letakkan ganache dari redai ke lapik kek semula
Cara dan kaedah mengalihkan kek dari redai ke lapik kek boleh rujuk di SINI

Simpan kek dalam peti ais hingga ganache mengeras
Hias kek mengikut kreativiti.
Untuk Black and White Russian Square Cake, seeloknya potong sekeliling kek untuk menampakkan corak sesuai dengan nama yang diberikan padanya.
Untuk kaedah dan cara memotong kek sila rujuk di SINI
Untuk kek bentuk bulat boleh rujuk di SINI kaedah dan cara penyediaannya dengan step by step.


Terima kasih kepada rakan-rakan yang mengucapkan selamat ulang tahun kepada Azrul dan 
Selamat Mencuba







Viewing all articles
Browse latest Browse all 808


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>